ADHD dalam Dewasa Lelaki ataupun Wanita: Di Sebalik Diagnosis “Terlalu Aktif”
- MSCP
- Nov 30, 2025
- 2 min read
ADHD sering dikaitkan dengan sifat terlalu aktif, tidak tahu penat, dan sentiasa sibuk, sama ada pada kanak-kanak atau dewasa. Terutama pada kanak-kanak, sifat ini sering disalahfahami sebagai kenakalan atau tingkah laku yang tidak terkawal, sekaligus menimbulkan stigma sejak usia muda. Hakikatnya, ADHD bukan sekadar hiperaktif fizikal, tetapi juga melibatkan cabaran dalam menumpukan perhatian, mengurus masa dan emosi, serta tenaga yang naik turun secara tidak menentu.

Bagi sesetengah individu, perjalanan memahami diri mengambil masa yang panjang. Kisah Siti, seorang wanita berusia 35 tahun, ibu kepada seorang anak dan profesional berjaya, menggambarkan realiti ini. Sejak kecil, Siti sering dianggap pelupa dan sukar fokus di sekolah, tetapi beliau juga dikenali sebagai pelajar yang mampu menyiapkan tugasan besar di saat akhir dengan penuh idea dan kreativiti. Cabaran menjadi lebih ketara selepas bergelar ibu, apabila beliau kerap berasa “berat” di kepala, mudah tertekan dengan pelbagai tugasan harian, dan berjuang menyiapkan perkara yang kelihatan mudah bagi orang lain.

Titik perubahan berlaku apabila satu insiden hampir mencetuskan “tragedi” iaitu Siti terlupa bahawa anaknya masih berada di dalam kereta dalam kekalutan menuju ke tempat kerja. Mujurlah panggilan daripada pengasuh menyedarkannya. Peristiwa ini menjadi titik tolak untuk beliau mendapatkan penilaian psikologi, dan buat pertama kali menerima diagnosis ADHD dewasa. Diagnosis ini bukan untuk memberi label, tetapi membantu individu memahami diri dengan lebih jujur dan mencari strategi yang sesuai untuk berfungsi dengan seimbang.
Kajian menunjukkan bahawa ADHD dewasa, khususnya dalam kalangan wanita, sering tidak didiagnosis kerana mereka cenderung menyesuaikan diri dengan tekanan sosial untuk kelihatan “teratur” dan “berfungsi dengan baik”. Ramai wanita kelihatan berjaya secara luaran, namun secara dalaman berdepan keletihan mental, kekeliruan, dan perasaan gagal mengurus diri.

Namun, ADHD bukan isu gender semata-mata. Lelaki dewasa turut terdedah kepada cabaran yang signifikan, termasuk impulsiviti, kesukaran mengawal emosi, dan prestasi kerja yang tidak konsisten. Ramai menghadapi masalah hubungan interpersonal atau tekanan kerja kerana dilihat “tidak fokus” atau “mudah marah”, sedangkan mereka sedang bergelut dengan kesukaran neurobiologi yang tidak disedari. Walaupun lelaki lebih kerap didiagnosis pada usia kanak-kanak, ramai tidak meneruskan rawatan hingga dewasa, menyebabkan simptom terus menjejaskan kehidupan harian dan kesejahteraan psikologi.
Kesedaran mengenai ADHD dewasa di Malaysia masih rendah, sama ada dalam kalangan lelaki mahupun wanita. Oleh itu, amat penting bagi masyarakat dan profesional kesihatan mental memperluas kefahaman, menormalkan saringan psikologi, dan membina sistem sokongan yang inklusif. Memahami ADHD bukan sekadar mengenal simptom, tetapi juga menghargai kepelbagaian cara otak manusia berfungsi.
Sempena World Mental Health Day, marilah kita memupuk empati dan kefahaman bahawa perbezaan bukan kelemahan, tetapi sebahagian daripada keindahan variasi manusia. Tidak semestinya anda mempunyai ADHD, tetapi menjalani saringan psikologi adalah langkah bijak untuk memahami diri dan memupuk kesejahteraan mental yang sebenar.
Rujukan
Barkley, R. A. (2021). ADHD: A handbook for diagnosis and treatment (5th ed.). The Guilford Press.
Hinshaw, S. P., Scheffler, R. M., & Rosenberg, J. (2021). ADHD: What everyone needs to know. Oxford University Press.
Kooij, J. J. S., et al. (2019). Updated European Consensus Statement on diagnosis and treatment of adult ADHD. European Psychiatry, 56(1), 14–34.
Nadeau, K. G. (2015). Understanding women with ADHD: How they feel and why they do what they do. Advantage Books.
Quinn, P. O., & Madhoo, M. (2014). A review of attention-deficit/hyperactivity disorder in women and girls. The Primary Care Companion for CNS Disorders, 16(3).
.png)



Comments