Bukan Sekadar Sukan: Kesan Tekanan Mental dalam Dunia Atlet Profesional
- MSCP
- Jul 9
- 2 min read
Kehidupan seorang atlet sering dilihat sebagai sesuatu yang membanggakan. Berlatih di luar negara, memenangi pingat, mewakili negara. Ia kelihatan penuh kejayaan dan disiplin. Namun di sebalik semua itu, ada kisah yang jarang dilihat kisah pengorbanan dan perjalanan yang sunyi.
Sejak usia muda, atlet elit menjalani rutin yang sangat ketat. Latihan berjam-jam setiap hari, rehat yang terhad, diet terkawal, dan harapan yang tinggi daripada jurulatih, penaja, dan peminat. Masa untuk diri sendiri, keluarga dan rakan-rakan amat terhad. Hidup mereka berkisar pada satu perkara: PRESTASI yang terbaik.

Dalam sukan individu seperti acara tennis, renang, badminton dan skuash, tekanan yang diterima lebih berat kerana ia ditanggung seorang diri. Apabila menang, disanjung. Tetapi apabila keputusan tidak memuaskan, datangnya kritikan, spekulasi media, dan kadang kala kecaman di media sosial. Dunia luar cepat menilai, jarang yang bertanya:
“Adakah dia benar benar okay?”
Kita sering lupa bahawa atlet juga manusia. Mereka merasa letih, kecewa, takut dan sunyi. Masalah kesihatan mental seperti kebimbangan melampau, tekanan emosi dan keletihan psikologi bukanlah perkara asing dalam kalangan atlet profesional. Menurut kajian oleh Reardon et al. (2019), bebanan fizikal dan emosi yang berpanjangan, ditambah pula dengan tekanan awam serta kekurangan sokongan psikologi, meningkatkan risiko gangguan kesihatan mental dalam kalangan atlet elit. Namun, kesakitan ini tidak kelihatan. Tidak seperti kecederaan fizikal, kecederaan mental lebih mudah disembunyikan, namun sukar dibincangkan.

Bintang sukan yang ternama juga pun tidak terlepas dari cabaran kesihatan mental. Contohnya, Michael Phelps, perenang lagenda dunia dan pemenang pingat emas terbanyak dalam sejarah Olimpik, pernah berkongsi perjuangannya melawan kemurungan dan tekanan mental walaupun berada di puncak kejayaan. Kisahnya mengingatkan kita bahawa di sebalik gemerlapan kejayaan, atlet juga manusia biasa yang menghadapi cabaran mental yang berat. Ramai orang melihat atlet sebagai insan luar biasa yang sentiasa kuat dan berjaya. Namun, hakikatnya mereka juga manusia biasa yang berjuang dengan masalah mereka sendiri.
Apa yang boleh kita lakukan sebagai orang awam yang menyokong?
Sentiasa gunakan kata-kata yang membina dan elakkan komen-komen negatif yang menyakitkan.
Raikan usaha mereka, bukan hanya kemenangan. Hargai kerja keras yang tersembunyi di belakang tabir.
Jangan sebarkan khabar angin atau spekulasi negatif. Hormati privasi dan ruang mental mereka.
Sokong perbincangan tentang kesihatan mental dalam sukan. Kesedaran boleh mengurangkan stigma.
Jika mengikuti mereka di media sosial, kirimkan mesej positif dan sokongan. Dorongan kecil boleh meningkatkan semangat.
Sokong organisasi dan kempen yang mempromosikan kesihatan mental atlet.

Ramai atlet berasa sunyi dan terbeban kerana membawa harapan negara, tetapi jarang ada ruang untuk mereka meluahkan perasaan. Marilah kita menjadi lebih prihatin dan penyayang. Kejayaan bukan sekadar pingat atau kemenangan tertinggi, tetapi keberanian untuk terus berjuang walaupun dalam kesukaran.
Akhirnya, ini bukan sekadar sukan. Ini tentang kehidupan seseorang.
Comments