Kecelaruan OCD: Bukan Gurauan Tentang Kesempurnaan
- MSCP
- 3 days ago
- 2 min read
Ann sentiasa memastikan dapurnya bersih dan tersusun sempurna. Pinggan mesti disusun mengikut cara tertentu, permukaan meja dibersihkan berkali-kali sehari, dan jika terlihat sedikit kotoran, dia akan mencucinya semula sehingga hatinya benar-benar tenang. Rakan serumahnya berseloroh, “Ann ni OCD lah!”

Namun benarkah begitu?
Ramai antara kita menggunakan istilah OCD secara sewenangnya untuk menggambarkan seseorang yang teliti atau perfeksionis, sedangkan OCD (Obsessive-Compulsive Disorder) ialah kecelaruan mental sebenar yang jauh lebih berat daripada sekadar suka kebersihan. Salah faham ini menjadikan pesakit OCD sering terlepas pandang daripada mendapatkan rawatan kerana malu atau takut dilabel.
Perfeksionisme pula ialah ciri personaliti di mana seseorang terdorong untuk melakukan sesuatu dengan terbaik, teratur, dan kemas. Ia boleh menjadi sifat positif selagi tidak menyebabkan tekanan melampau atau mengganggu kesejahteraan diri.
Sebaliknya, OCD melibatkan dua elemen utama iaitu obsesi, iaitu fikiran atau bayangan yang berulang dan mengganggu, serta kompulsi, tindakan berulang yang dilakukan untuk mengurangkan keresahan. Bezanya, individu perfeksionis masih mampu mengawal tindakannya, manakala individu dengan OCD tidak dapat menahan dorongan itu, walaupun sedar ia tidak rasional. Ia boleh mengganggu fungsi harian seperti mengambil masa berjam-jam setiap hari, menjejaskan pekerjaan, hubungan sosial, dan kualiti hidup.
Lebih membimbangkan, OCD mencipta kitaran ketakutan dan kelegaan sementara. Setiap kali ritual kompulsif dilakukan, keresahan mungkin reda seketika namun fikiran obsesif akan datang semula, menjadikan individu terperangkap dalam lingkaran yang melelahkan. Jika tidak dirawat, OCD boleh membawa kepada kemurungan, gangguan tidur, dan rasa putus asa.

Kajian terkini di Malaysia menunjukkan bahawa intervensi psikologi berstruktur seperti Terapi Tingkah Laku Kognitif (Cognitive Behavioral Therapy, CBT) dan Pendedahan serta Pencegahan Respon (Exposure and Response Prevention, ERP) berkesan dalam mengurangkan simptom OCD. Malah, modul intervensi dalam Bahasa Melayu yang dibangunkan oleh penyelidik tempatan menunjukkan hasil positif dalam membantu pesakit OCD ringan hingga sederhana (Lee et al., 2025). Ini membuktikan bahawa peranan pakar psikologi klinikal amat penting dalam memberikan diagnosis tepat dan membimbing proses pemulihan.
Sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia, marilah kita berhenti menggunakan istilah “OCD” sebagai bahan gurauan untuk menggambarkan sifat suka teratur. Kesempurnaan ialah personality seseorang, namun kecelaruan OCD ialah kecelaruan mental yang memerlukan rawatan profesional. Jika anda atau orang di sekeliling sering dibelenggu fikiran dan tindakan berulang yang mengganggu kehidupan harian, dapatkan khidmat pakar psikologi.

Memahami diri bukan tanda kelemahan, tetapi langkah berani menuju kesejahteraan jiwa.
Rujukan
Lee, J. G. et al. (2025). The Development of a Brief Intervention Module for Adults with Obsessive-Compulsive Disorder (OCD) in Malaysia. Malaysian Journal of Public Health Medicine.
Lee, J. G. et al. (2024). A Review of Online Intervention for Obsessive-Compulsive Disorder (OCD). Jurnal Psikologi Malaysia.
American Psychiatric Association. (2022). Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders (5th ed., Text Revision; DSM-5-TR).
Kementerian Kesihatan Malaysia. (2024). Gangguan Obsesif Kompulsif (OCD).
.png)



Comments