Jalan Raya dan Jiwa Kita: Psikologi di Sebalik Pemanduan Berisiko
- MSCP
- Aug 25
- 3 min read

Kebelakangan ini, beberapa video tular menunjukkan insiden tegang di jalan raya dari penunggang basikal yang menghalang bas, penunggang motosikal yang menendang cermin kereta ketika menyelit laluan garis putus-putus, sehinggalah pemandu yang sengaja melanggar penunggang konvoi basikal. Reaksi orang ramai pelbagai: ada yang marah, ada yang menyindir, malah ada yang sekadar menertawakan kejadian. Namun, apa yang jarang kita bincangkan ialah bagaimana emosi yang tidak dikawal boleh membawa kepada tindakan berbahaya, konflik, dan dalam kes yang lebih tragik iaitu kehilangan nyawa.
Menurut laporan WHO pada tahun 2021, Malaysia mencatat kadar kematian jalan raya sebanyak 22.5 bagi setiap 100,000 penduduk iaitu antara yang tertinggi di dunia. Purata 6,540 kematian direkodkan setiap tahun, dan 60% daripadanya melibatkan penunggang motosikal. Statistik ini bukan sekadar angka; ia mewakili insan-insan tersayang — ayah, ibu, anak — yang tidak pulang ke rumah.
Kajian psikologi oleh Ramos-Moreno dan rakan-rakan (2025) menunjukkan bahawa kemarahan semasa memandu meningkatkan risiko pemanduan agresif dan terburu-buru. Namun, individu yang memiliki kemahiran mengurus emosi dengan baik lebih cenderung membuat keputusan secara rasional, tenang, dan selamat.
Sebenarnya, keselamatan jalan raya bukan hanya soal siapa betul atau siapa salah. Ia juga tentang bagaimana kita mengurus emosi sendiri, bagaimana kita menilai situasi, dan bagaimana kita memilih untuk bertindak. Kadangkala, kita lupa bahawa jalan raya adalah ruang yang dikongsi bersama. Kita tidak tahu kisah di sebalik pemandu di hadapan — mungkin dia sedang cemas membawa anak ke hospital, atau sedang bersedih setelah kehilangan insan tersayang. Empati di jalan raya bukan kelemahan ia satu bentuk kekuatan. Ia tanda kita masih punya hati yang manusiawi.
Dengan sedikit kesabaran, sedikit kawalan emosi, dan sedikit kesedaran bahawa tindakan kita memberi kesan kepada orang lain — kita mampu menjadikan jalan raya tempat yang lebih selamat dan beradab untuk semua. Mari kita mula dengan diri sendiri.Bawa bukan sekadar kenderaan, tetapi juga hati yang tenang dan fikiran yang waras. Kerana satu saat kita marah, mungkin satu nyawa yang terkorban.
Berikut ialah beberapa langkah praktikal yang boleh diamalkan untuk mengawal emosi semasa memandu, agar pemanduan kekal tenang dan selamat:

1. Kenal Pasti Emosi Anda Sebelum Memandu
Sebelum hidupkan enjin, ambil masa beberapa saat untuk bertanya pada diri sendiri:“Saya sedang tenang atau tertekan?” Jika sedang marah, sedih, atau cemas cuba tarik nafas dalam-dalam dan tenangkan diri dahulu. Jangan bawa emosi yang tidak stabil ke jalan raya.
2. Tarik Nafas Dalam, Kira Hingga 5
Apabila ada situasi yang mencetuskan kemarahan (seperti disondol dari belakang atau dipotong secara bahaya), jangan bertindak spontan. Tarik nafas perlahan-lahan, kira hingga lima, dan lepaskan. Ini membantu sistem saraf kita kembali stabil dan mencegah reaksi impulsif.
3. Tukar Fokus: Daripada Marah kepada Empati
Contoh: Daripada berkata,"Kenapa lambat sangat ni?!", cuba fikir:"Mungkin dia baru belajar memandu."Dengan latihan empati, kita lebih mudah bersabar dan tidak mudah terpancing emosi.
4. Mainkan Muzik yang Menenangkan
Pilih muzik atau audio yang menenangkan jiwa seperti zikir, bacaan al-Quran, podcast inspirasi, atau muzik instrumental. Ini boleh bantu menstabilkan emosi dan mengurangkan tekanan semasa memandu.
5. Elakkan "Self-Talk" Negatif
Contoh negatif: "Semua orang bodoh atas jalan ni."Cuba tukar kepada neutral atau positif: "Ini ujian kesabaran saya hari ini."Apa yang kita ucapkan pada diri sendiri mempengaruhi emosi dan reaksi kita.
6. Rancang Perjalanan Lebih Awal
Kelewatan sering menjadi punca tekanan. Keluar lebih awal mengurangkan rasa tergesa-gesa dan membolehkan anda hadapi kesesakan trafik dengan lebih tenang.
7. Jangan Terlibat dalam "Road Rage" Orang Lain
Jika ada pemandu lain yang provokatif, jangan balas. Abaikan, kekalkan jarak, dan fokus pada keselamatan diri. Anda tidak perlu “menang” atas jalan raya — anda hanya perlu selamat.
8. Jadikan Memandu Satu Amalan Kesedaran (Mindfulness)
Fokus kepada pergerakan kereta, pemandangan di sekeliling, dan bunyi di luar. Elakkan berfikir terlalu jauh ke depan atau mengulang-ulang kemarahan dalam fikiran. Latihan ini membantu anda lebih hadir dan bertenang. Kalau emosi tetap tidak stabil, berhenti di tempat selamat, tarik nafas, minum air, atau keluar sebentar dari kereta. Keselamatan lebih penting daripada cepat sampai.
Rujukan:
Ramos-Moreno, M. Á., Fernández-Berrocal, P., & Megías-Robles, A. (2025). Emotion regulation abilities as a protective factor in the relationship between anger-inducing road events and dangerous behavior behind the wheel. Transportation Research Part F: Traffic Psychology and Behaviour, 112, 138–147. https://doi.org/10.1016/j.trf.2025.03.025
Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2022, Kementerian Pengangkutan Malaysia
WHO Global Road Safety Report (2021)
Comments