top of page

Ketagihan Permainan Digital Di Kalangan Remaja: IGD Bukan Sekadar ‘Permainan Atas Talian’ Biasa

  • MSCP
  • 16 minutes ago
  • 4 min read
ree

Dalam dunia yang semakin bergantung kepada teknologi, penggunaan internet dan peranti  digital dalam kalangan remaja tidak lagi dapat dielakkan. Walaupun teknologi menawarkan  pelbagai manfaat dalam pembelajaran dan komunikasi, ia juga membuka ruang kepada satu  krisis senyap yang semakin membarah iaitu ketagihan digital, khususnya ketagihan permainan  dalam talian atau Internet Gaming Disorder (IGD). Berdasarkan kajian berskala besar oleh  Mohamed et al. (2023), kira-kira 3.5% pelajar sekolah menengah di Malaysia memenuhi  kriteria IGD, menjadikannya satu isu kesihatan mental yang tidak boleh dipandang ringan. 


Sebenarnya, isu ketagihan dalam kalangan remaja kini merangkumi pelbagai bentuk.  Antaranya: 

● Ketagihan dadah atau gam 

● Ketagihan media sosial (skrol tanpa henti, terpengaruh dengan trend viral (FOMO)

● Ketagihan skrin (termasuk video pendek, YouTube, Netflix, IG) 

● Ketagihan pornografi 

● Ketagihan membeli-belah dalam talian dan ‘gacha games’ 


Namun, antara semua ini, IGD didapati paling merosakkan dari aspek kognitif, emosi, dan  sosial, kerana ia melibatkan penglibatan aktif, persaingan maya, dan pencapaian ganjaran  tiruan yang sangat mempengaruhi fungsi otak. 



ree

IGD: Satu Gangguan Klinikal yang Serius 

IGD bukanlah rekaan atau "alasan" untuk anak-anak yang suka bermain. Ia kini diiktiraf secara  rasmi dalam Manual Diagnostik dan Statistik Gangguan Mental (DSM-5) oleh American  Psychiatric Association sebagai satu kondisi yang memerlukan perhatian profesional.  Pengiktirafan ini menunjukkan bahawa IGD bukan sekadar masalah tingkah laku, tetapi  melibatkan perubahan neurobiologi dan psikologi yang kompleks (APA, 2013). 

Kajian menunjukkan bahawa remaja dengan IGD mengalami perubahan dalam sistem ganjaran  otak (dopamin), ketidakseimbangan hormon stres, dan penurunan fungsi pengawalan diri.  Mereka sukar untuk berhenti bermain walaupun sedar ia memudaratkan, kerana otak mereka  telah 'terlatih' untuk mencari ganjaran segera yang ditawarkan oleh permainan (González-Bueso et al., 2018). 



Kesan Ketagihan Digital di Kalangan Remaja  

Kajian terbaharu oleh Mohamed et al. (2024) menunjukkan kaitan langsung antara IGD dan  gangguan kebimbangan sosial (Social Anxiety Disorder, SAD).

ree

Lebih 40% daripada 1,574  pelajar sekolah menengah yang dikaji menunjukkan simptom kebimbangan sosial yang tinggi,  dan mereka yang mengalami IGD mempunyai risiko dua kali ganda untuk mengalami SAD. 

Selain itu, mereka juga menunjukkan tahap impulsiviti yang lebih tinggi, sukar mengawal  emosi, dan mudah stres. IGD juga boleh menjejaskan prestasi akademik, menyebabkan  pengasingan sosial, gangguan tidur, dan dalam kes yang lebih serius, membawa kepada  kemurungan dan kecenderungan membunuh diri.


Rawatan Perubatan Kesihatan Seperti Penyakit Lain:

Bukan Sekadar Nasihat atau Hukuman 

Masih ramai ibu bapa beranggapan bahawa "menasihati" atau "mengurung" anak cukup untuk  mengubah tabiat ini. Namun, kecelaruan IGD yang serius sahaja amat memerlukan  rawatan berasaskan sains dan pendekatan berstruktur.

  

ree

Cadangan rawatan yang disarankan oleh pakar termasuk:

1. Terapi Psikologi Klinikal (CBT) – Mengubah pemikiran tidak rasional dan tingkah  laku kompulsif melalui sesi terapi bersama ahli psikologi klinikal. 

2. Pendidikan Kemahiran Sosial dan Emosi – Memberi latihan kemahiran hidup untuk  mengembalikan interaksi sosial yang sihat. 

3. Kaunseling Keluarga – Membantu ibu bapa memahami ketagihan ini dan melibatkan  mereka secara aktif dalam proses pemulihan. 

4. Intervensi Multidisiplin – Untuk kes sederhana hingga teruk, penglibatan doctor  psikiatri, ahli terapi cara kerja, dan kaunselor sekolah amat digalakkan. 


Mengapa Rawatan Perubatan Kesihatan Diperlukan? 

Ramai masih percaya bahawa ketagihan seperti IGD boleh “disedarkan” melalui ceramah,  nasihat keluarga, atau amalan tradisional seperti berubat kampung. Namun, ketagihan digital  adalah gangguan yang diakibatkan oleh kecelaruan psikologi dan neurobiologi.


Tanpa rawatan klinikal dan sokongan profesional, individu akan berterusan mengalami: 

Perubahan mood (murung, cepat marah dan agresif) 

• Gangguan tidur 

• Hilang fokus dalam pembelajaran 

• Pengasingan sosial 

• Penurunan fungsi eksekutif otak (keputusan, perancangan, kawalan diri). Mohamed et al. (2024) menekankan bahawa rawatan awal dapat mencegah IGD daripada  berkembang menjadi gangguan psikologi jangka panjang, dan pemantauan berkala perlu dilakukan sepanjang proses pemulihan. 


Peranan Ibu Bapa dan Masyarakat 

ree

Ibu bapa perlu mula melihat IGD sebagai isu kesihatan mental yang memerlukan intervensi  awal, bukan sebagai masalah disiplin semata-mata. Tanda-tanda seperti perubahan emosi,  keletihan, penurunan prestasi akademik, atau keengganan untuk bersosial perlu diambil serius.  Jangan menunggu sehingga anak menunjukkan gejala ekstrem untuk bertindak. Masyarakat  dan pihak sekolah pula perlu melaksanakan program pendidikan kesihatan mental digital,  menggalakkan pengurusan masa skrin yang sihat, dan menyediakan ruang sokongan  psikososial kepada pelajar. 


Kesimpulan 

Ketagihan permainan dalam talian kini menjadi isu kesihatan mental generasi muda Malaysia.  Dengan bukti kukuh dari kajian tempatan dan antarabangsa, jelas bahawa IGD bukan boleh  dibiarkan tanpa rawatan. Ia menuntut pendekatan berasaskan bukti, empati, dan kesedaran  kolektif. Dengan tindakan proaktif daripada ibu bapa, pendidik, pakar kesihatan dan kerajaan,  kita mampu melindungi remaja daripada terperangkap dalam dunia maya yang memusnahkan  masa depan mereka. 


ree

 

Senarai Rujukan

  1. American Psychiatric Association. (2013). Diagnostic and statistical manual of mental  disorders (5th ed.). https://doi.org/10.1176/appi.books.9780890425596 


  2. González-Bueso, V., Santamaría, J. J., Fernández, D., Merino, L., Montero, E., & Ribas, J.  (2018). Internet gaming disorder and psychopathology: A comprehensive review. International  Journal of Environmental Research and Public Health, 15(4), 668.  https://doi.org/10.3390/ijerph15040668


  3. Mohamed, N. F., Ab Manan, N., Muhammad Firdaus Chan, M. F., Rahmatullah, B., Abd  Wahab, R., Baharudin, S. N. A., Govindasamy, P., & Abdulla, K. (2023). The prevalence of Internet Gaming Disorders and the associated psychosocial risk factors  among adolescents in Malaysian secondary schools. Clinical Child Psychology and Psychiatry,  28(5), 1420–1434. https://doi.org/10.1177/13591045231164870 


  4. Mohamed, N. F., Tan, J. T., Ab Manan, N., Mohd Senari, I. F., Muhammad Firdaus Chan, M.  F., Rahmatullah, B., Govindasamy, P., & Abdulla, K. (2024). Prevalence and predictors of social anxiety disorders among Malaysian secondary school  students during the COVID-19 pandemic: Exploring the influence of internet gaming disorder  and impulsivity. Clinical Child Psychology and Psychiatryhttps://doi.org/10.1177/13591045231206967


Comentários


© Malaysian Society of Clinical Psychology

  • Instagram
  • Facebook
  • Youtube
bottom of page