top of page
  • Writer's pictureMSCP

Keibubapaan Positif

Adalah sesuatu yang melegakan apabila pemeriksaan awal yang dijalankan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat tidak menunjukkan sebarang kesan buruk dari segi fizikal atau psikologi yang di alami oleh Qadejah berikutan kejadian itu. Walaupun dapat difahami bahawa setiap ibu bapa mempunyai keinginan dan cara tersendiri dalam mendidik anak-anak mereka, MSCP ingin mengambil kesempatan ini untuk mendidik orang ramai tentang kemahiran keibubapaan positif.


Dalam psikologi, hukuman adalah salah satu teknik yang digunakan dalam pengubahsuaian tingkah laku, khususnya sebagai satu kaedah untuk mengurangkan kemungkinan tingkah laku yang tidak diingini berulang pada masa akan datang.


Walaupun hukuman dera (perbuatan menghukum yang menimbulkan kesakitan fizikal) adalah salah satu cara untuk mengubahsuai tingkah laku, kajian menunjukkan bahawa ia boleh menimbulkan risiko yang serius kepada kanak-kanak seperti penghinaan kepada maruah kanak-kanak, meningkatkan kebarangkalian tingkah laku menyimpang dan antisosial, menimbulkan kebimbangan, kemurungan, pengasingan diri, harga diri yang rendah, dan merosakkan hubungan ibu bapa dan anak. Sebanyak 30 buah negara di seluruh dunia telah melarang hukuman fizikal ke atas kanak-kanak dalam semua situasi, termasuk di rumah.


Melihat kepada kesan negatif hukuman dera ke atas kanak-kanak, kita harus berhati-hati dalam membicarakan isu ini. Perkongsian di media sosial terutamanya mungkin secara tidak sengaja akan menarik perhatian terhadap perbuatan tersebut, dan ia boleh menggalakkan penggunaannya dikalangan masyarakat. Tambahan pula, kanak-kanak yang telah terluka secara fizikal dan emosi, terpaksa pula berdepan dengan situasi di mana kisah penderaanya disiarkan ke seluruh dunia, dan ini boleh meningkatkan lagi rasa malu yang dihadapi oleh kanak-kanak tersebut.


Tindakan memalukan kanak-kanak secara umum (melalui Instagram dalam kes ini) boleh menimbulkan lebih banyak kesan negatif yang disebabkan oleh perasaan malu berada di khalayak ramai tanpa menghormati maruah kanak-kanak tersebut. Ini boleh menghancurkan harga diri mereka dan menghalang perkembangan psikososial yang normal.


Oleh itu, ibu bapa digalakkan untuk menyokong kaedah disiplin alternatif seperti pengukuhan positif dan negatif, time-out, mengabaikan tingkah laku yang tidak baik dan dekontaminasi ketegangan menerusi jenaka untuk membetulkan tingkah laku negatif.


Berikut adalah kaedah yang boleh digunakan sebagai garis panduan untuk mendisiplinkan anak anda dengan cara yang lebih positif:


Ibu bapa haruslah bertindak sebagai satu pasukan, dan tidak boleh bertentangan pendapat mengenai hal disiplin di hadapan anak-anak.


Jangan sekali-kali memberikan arahan, permintaan, atau perintah sekiranya ibu bapa tidak dapat melaksanakannya pada masa itu.


Ibu bapa haruslah bersependapat mengenai tingkah laku yang wajar dan tidak wajar.


Ibu bapa haruslah bersependapat dalam menangani tingkah laku yang tidak wajar dan melaksanakannya secara konsisten.


Terangkan dengan jelas kepada anak anda tentang apa yang akan berlaku sekiranya dia melakukan tingkah laku yang tidak wajar


Perhatikan perubahan beransur-ansur dalam tingkah laku. Jangan mengharapkan perubahan yang terlalu banyak. Berikan pujian kepada tingkah laku yang hampir dengan matlamat yang dikehendaki.


Ingatlah bahawa tingkah laku anda merupakan contoh bagi tingkah laku anak anda.


Sekiranya salah seorang daripada anda sedang mendisiplinkan anak dan pasangan anda memasuki bilik tersebut, pasangan itu tidak seharusnya campur tangan pada masa tersebut.


Berikan ganjaran sebanyak mungkin terhadap tingkah laku yang diingini dengan memberikan pujian, sentuhan atau sesuatu yang nyata seperti mainan, makanan atau wang.


Keibubapaan adalah satu kerja yang sukar!


Tetapi kita boleh mencuba dan berusaha untuk mendapatkan tingkah laku yang diingini untuk anak-anak kita, atau bekerjasama dengan mereka sebagai satu pasukan. Ini untuk memupuk hubungan kekeluargaan yang lebih baik di mana-mana!


Source:

American Psychological Association. The case against spanking. https://www.apa.org/monitor/2012/04/spanking

21 lihatan0 komen
bottom of page