Perutusan Presiden Malaysian Society of Clinical Psychology (MSCP) Berhubung Tragedi Kemalangan Melibatkan Pelajar-Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
- MSCP
- 12 Jun
- 2 min membaca
Malaysian Society of Clinical Psychology (MSCP) merakamkan ucapan takziah dan rasa dukacita yang mendalam atas insiden kemalangan jalan raya yang meragut nyawa para pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Kami turut mendoakan agar roh mereka yang terkorban dikurniakan rahmat dan keampunan daripada Allah SWT, serta mereka yang masih dirawat, termasuk ahli keluarga dari kenderaan MPV yang terlibat, dikurniakan kesembuhan dan kekuatan dalam menghadapi ujian yang amat berat ini.
MSCP memahami bahawa tragedi ini boleh memberikan kesan psikologi yang besar—bukan hanya kepada mangsa secara langsung, tetapi juga kepada individu yang menyaksikan kejadian tersebut, mengetahui bahawa ia berlaku kepada ahli keluarga terdekat atau rakan rapat, mahupun mereka yang secara berulang kali terdedah kepada butiran kejadian traumatik ini melalui rakaman video atau media sosial.
Dalam konteks psikologi, antara tanda-tanda gangguan tekanan akut (acute stress disorder) yang perlu diberi perhatian termasuk:
Memori yang menggangu fikiran, seperti mimpi buruk yang berulang-ulang atau terbayang-bayang kejadian (menggambarkan simptom intrusi)
Perasaan sedih yang mendalam, termasuk rasa hampa, putus asa atau menjauhkan diri daripada orang lain (menggambarkan mood negatif)
Rasa keliru atau seolah-olah ‘terputus’ daripada realiti, seperti tidak sedar masa berlalu atau rasa kosong (menggambarkan disosiatif)
Cuba mengelak perkara yang mengingatkan kepada kejadian, seperti enggan bercakap tentangnya atau menjauhi tempat tertentu (menggambarkan tingkah laku mengelak)
Terlalu peka atau mudah terkejut, termasuk gangguan tidur, cepat marah, atau rasa gelisah yang berlebihan (menggambarkan rangsangan berlebihan/arousal)
Gejala ini boleh dialami walaupun seseorang tidak terlibat secara langsung dalam kejadian, dan boleh memberi kesan ketara terhadap kesejahteraan individu dalam jangka pendek dan panjang. Justeru, MSCP menyarankan agar sesiapa yang mengalami gejala-gejala ini segera mendapatkan bantuan daripada profesional kesihatan mental yang terlatih seperti ahli psikologi klinikal, pakar psikiatri, atau kaunselor bertauliah. Sokongan awal adalah penting untuk mencegah kesan psikologi yang lebih serius.
Sokongan awal dapat membantu mencegah kesan psikologi yang lebih serius. Untuk mendapatkan khidmat nasihat, sila hubingi talian sokongan psikososial berikut:

Sokongan sosial daripada keluarga, rakan dan komuniti juga sangat penting dalam membantu individu mengharungi trauma. Dalam masa yang sama, kami menyarankan agar semua pihak lebih berhati-hati dan berempati dalam berkongsi kandungan berkaitan tragedi, terutamanya rakaman yang mungkin boleh mencetuskan semula trauma atau mengganggu emosi khalayak ramai.
MSCP juga menggesa pihak institusi seperti universiti dan sekolah untuk menyediakan bantuan psikososial yang bersesuaian kepada pelajar, pensyarah, dan warga kerja yang terkesan secara langsung atau tidak langsung.
Akhir kata, kami di MSCP berdiri bersama dengan seluruh warga UPSI dan rakyat Malaysia yang sedang berduka. Semoga kita terus memperkukuh budaya prihatin, empati dan sokongan terhadap kesejahteraan mental dalam masyarakat kita.
Dr. Jamilah Hanum Binti Abdul Khaiyom
Presiden | Penggal 2025–2026
Malaysian Society of Clinical Psychology (MSCP)
Comentários