top of page

Perutusan Presiden MSCP

  • MSCP
  • 19 Jul
  • 2 min membaca

Kesejahteraan Emosi dan Psikologi: Pilihlah Program yang Selamat, Sah dan Beretika


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,


Akhir-akhir ini, masyarakat disajikan dengan pelbagai program pembangunan diri, motivasi perkahwinan, dan kesejahteraan emosi yang ditawarkan oleh pelbagai pihak. Sebagai masyarakat yang semakin terbuka untuk membincangkan isu-isu psikologi dan emosi, ini adalah satu perkembangan yang positif.


Namun, MSCP ingin mengingatkan orang ramai agar berhati-hati dalam memilih program sebegini. Tidak semua program dijalankan oleh individu yang mempunyai latihan formal atau kelayakan profesional dalam bidang psikologi atau kesihatan mental.


Sebagai contoh, program motivasi perkahwinan yang menyentuh aspek psikologi hubungan pasangan, konflik rumah tangga, atau trauma emosi, seharusnya dikendalikan oleh profesional kesihatan mental yang berdaftar dan telah menjalani latihan khusus dalam terapi pasangan dan perkahwinan.


Individu yang layak untuk mengendalikan sesi-sesi sebegini termasuklah:

✅ Kaunselor Berdaftar

✅ Ahli Psikologi Klinikal

✅ Pakar Psikiatri


MSCP juga ingin menekankan bahawa:

  • Setiap individu berhak untuk mendapatkan perkhidmatan psikologi yang berkualiti, selamat, dan beretika.

  • Program yang dijalankan oleh individu tanpa latihan formal atau tanpa pendaftaran profesional boleh membawa risiko — termasuk salah faham terhadap konsep psikologi, nasihat yang tidak sesuai, atau kesan emosi yang tidak diingini.

  • Program yang berlandaskan ilmu sains psikologi dan amalan berasaskan bukti (evidence-based) adalah pilihan terbaik untuk kesejahteraan emosi anda.


Jika anda atau orang tersayang sedang berhadapan dengan tekanan emosi, keresahan, konflik hubungan, atau trauma, carilah bantuan daripada pengamal kesihatan mental yang diiktiraf dan bertauliah. Untuk menyemak senarai ahli psikologi klinikal yang sah di Malaysia, sila rujuk Direktori MSCP di laman web kami:👉 https://www.mscp.my/clinical-psychologist-registry


MSCP kekal komited untuk meningkatkan kesedaran awam terhadap amalan psikologi yang selamat dan profesional, serta memperkukuh integriti perkhidmatan psikologi di negara ini.


Kesihatan mental anda bukan bahan eksperimen. Buat pilihan yang selamat, bijak dan sah.


Sekian, terima kasih.




Yang menjalankan tanggungjawab,

Dr. Jamilah Hanum Abdul Khaiyom

Presiden | Penggal 2025–2026

Malaysian Society of Clinical Psychology (MSCP)

 
 
 

Siaran Terkini

Lihat Semua

Komen


© 2019 oleh Persatuan Psikologi Klinikal Malaysia

  • Instagram
  • Facebook
  • Youtube
bottom of page